TCHETCHE idam tiga mata bertemu KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
TCHETCHE idam tiga mata bertemu KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mencipta hatrik ketika membantu Terengganu FC (TFC) membenam cabaran Melaka United FC (MUFC) 4-2 minggu lalu, semangat penyerang sensasi, Kipre Tchetche kian membara.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu berazam untuk mengulangi pencapaian terbaiknya dalam misi membantu skuadnya melakar kemenangan menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) malam esok sekali gus mengintai peluang untuk mendaki kedudukan kedua Liga Super.

Bagaimanapun tegas pemain berusia 35 tahun itu yang sudah menjaringkan 10 gol dalam saingan liga dan tiga gol Piala FA, skuadnya bakal berdepan laluan berliku menentang finalis Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini itu.

"Bagi saya tidak ada yang mudah dalam bola sepak, cuma kita perlu percaya pada kualiti yang kita ada dan tidak sesekali memandang mudah keupayaan mana-mana pasukan bagi mengelak terjerat.

"Namun selepas mencipta hatrik, semangat saya kian membara dengan fokus yang sama iaitu untuk meraih kemenangan kerana bagi saya semua perlawanan di penghujung liga ibarat final.

"Justeru saya mengharapkan perancangan kami menjadi menentang Kuala Lumpur, siapa yang menjaringkan gol itu bukan persoalan utama, yang penting kami berjaya membawa pulang tiga mata kerana misi kami adalah ke Piala AFC musim depan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menegaskan lawan pada kali ini bukan skuad KL City FC yang ditemui ketika aksi pusingan pertama.

"Semua tahu KL City FC berada dalam momentum kemenangan dan sudah tentu mempunyai reputasi yang tinggi selepas melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFC dengan mengalahkan kelab hebat di rantau Asean dan Asia.

"Selaku warga negara Malaysia, kami begitu bangga atas pencapaian sejauh itu sebuah kelab dalam Liga Super Malaysia, tapi itu tidak bermakna KL City FC mempunyai tiket mudah bagi mengharungi baki perlawanan memandangkan kedudukan kelab tersebut yang berada di pertengahan carta liga.

"TFC juga selaku finalis Piala FA dan reputasi selaku juara Sukan Malaysia (Sukma) musim ini mempunyai sebuah pasukan yang barisan kejurulatihan dan pemain yang sentiasa bersemangat dan bersedia bertemu dengan mana-mana pasukan untuk melakar keputusan yang positif," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 4:16 PM