NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei diundi menentang Min Hyuk-Seung Jae di pusingan pertama BAC, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei diundi menentang Min Hyuk-Seung Jae di pusingan pertama BAC, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
Sukhairi Thani


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan terlalu 'ambil kisah' mengenai lawan mereka di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, bulan depan.

Gandingan ranking ke-19 dunia itu dijadual membuat perhitungan dengan juara dunia dari Korea Selatan yang juga pilihan kedua kejohanan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae seawal pusingan pertama lagi, namun bagi Sze Fei, semua itu satu cabaran buat mereka.

"Mengenai undian, memang kami tidak fikir banyak... akan cuba yang terbaik dan berbincang bersama jurulatih mengenainya.

"Memandangkan kejohanan ini berstatus Super 1000, sudah tentu semua lawan adalah sukar dan tiada yang senang," kata Sze Fei.

Pada edisi 2022 di Filipina, Sze Fei-Nur Izzuddin menamatkan saingan di separuh akhir selepas tewas di tangan gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 13-21, 15-21 dalam tempoh 29 minit.

"Sudah tentu kami mempunyai sasaran, namun mengenai undian ini, kami jadikan ia sebagai satu motivasi.

"Dari segi tekanan, memang ada tetapi kami mahu cuba menguruskannya dengan sebaiknya," kata Sze Fei.

Untuk rekod, pertemuan antara Sze Fei-Nur Izzuddin dan Min Hyuk-Seung Jae di Ningbo nanti bakal menjadi medan pertempuran keempat buat mereka dengan pertemuan tahun lalu di Masters Korea memihak kepada beregu kedua dunia itu, 21-18, 21-10.

Kemenangan sulung Sze Fei-Nur Izzuddin ke atas Min Hyuk-Seung Jae adalah pada 2021 ketika Masters Indonesia yang menyaksikan mereka menewaskan lawan dengan keputusan 21-10, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 5:46 PM