AARON (kiri)-Wooi Yik menghadiahkan mata tunggal buat negara. FOTO EPA
AARON (kiri)-Wooi Yik menghadiahkan mata tunggal buat negara. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat Malaysia untuk muncul juara Kumpulan D Piala Sudirman tidak kesampaian selepas tumpas 1-4 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Vantaa, Finland sebentar tadi.

Walaupun tumpas skuad campuran negara itu akan mengiringi Jepun ke suku akhir selepas berjaya menumpaskan England dan Mesir sebelum ini.

Aksi Malaysia bermula dengan langkah kanan selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menumpaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 22-20, 14-21, 21-16.

Bagaimanapun, Jepun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila perseorangan wanita negara, S Kisona tumpas di tangan Akane Yamaguchi 14-21, 14-21.

Jepun yang juga naib juara edisi 2019, berada di depan buat kali pertama apabila perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 21-18, 21-10 ketika berdepan Lee Zii Jia.

Kemenangan negara Matahari Terbit itu disahkan apabila beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kalah 16-21, 17-21 ketika berdepan Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Perlawanan ini terhenti selama lima minit di awal saingan apabila Chiharu mengalami kecederaan pergelangan kaki kiri namun Pearly-Thinaah gagal mengambil kesempatan di atas perkara berkenaan.

Mata keempat Jepun hadir melalui saingan beregu campuran apabila pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See tumbang di tangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino 16-21, 9-21.

Selain Malaysia dan Jepun, turut mara ke suku akhir ialah juara bertahan, China, Thailand, Korea Selatan, Taiwan, Indonesia dan Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 1:57 AM