TZE Yong akan sertai empat kejohanan pada awal tahun depan.
TZE Yong akan sertai empat kejohanan pada awal tahun depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui peluang lebih tinggi buat Ng Tze Yong untuk mengesahkan tiket ke Olimpik Paris sekiranya berjaya menghasilkan keputusan baik dalam empat kejohanan awal musim 2024.

Pemain yang menduduki ranking ke-15 dunia itu akan beraksi di Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari diikuti Terbuka India (16 hingga 21 Januari), Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Masters Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

"Dia sudah berjaya layak ke suku akhir, separuh akhir dan final, cuma belum menjadi juara. Kalau boleh menjadi juara, sudah tentu peluang beraksi di Olimpik menjadi lebih besar.

"Sementara ini, kita masukkan dulu nama (menyertai kejohanan). Jika empat kejohanan awal nanti hasilnya bagus, mungkin kita boleh kurangkan kejohanan-kejohanan akan datang," kata Hendrawan ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Jelas jurulatih berusia 51 tahun itu, Terbuka Perancis, Seluruh England (All England) dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang menjadi tiga aksi terakhir kelayakan Olimpik sebagai kejohanan penting buat Tze Yong.

"Untuk Mac nanti, dia juga akan menyertai kejohanan Terbuka Perancis dan All England yang boleh dikatakan sangat penting. Paling akhir (kelayakan Olimpik) nanti adalah Kejohanan Badminton Asia," katanya.

Tze Yong mempamerkan peningkatan prestasi positif apabila dia yang memulakan musim ini dengan kedudukan ke-28 dunia, berjaya melayakkan diri ke suku akhir sebanyak tujuh kali, dua kali mara ke separuh akhir dan sekali muncul naib juara di Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 5:50 PM