TZE Yong tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
TZE Yong tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini. FOTO BADMINTON PHOTO
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Perbezaan pengalaman nyata memisahkan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tewas kepada pemain China, Shi Yu Qi di pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini.

Pada aksi di Istora Senayan, Jakarta, Yu Qi mengungguli set pertama apabila mudah menewaskan Tze Yong 21-7, sebelum Tze Yong bangkit pada set kedua untuk menang 21-17.

Bagaimanapun kegugupan Tze Yong di set penentuan menyaksikan Yu Qi kembali menguasai permainan untuk kemenangan 21-13.

"Saya akui agak sukar untuk mengawal permainan pada set pertama manakala di set penentuan, saya agak ketinggalan.

"Jadi untuk mendapat mata di set penentuan agak gemuruh sedikit. Saya akan berbincang lagi dengan jurulatih," katanya.

Selain Tze Yong, turut tersingkir di pusingan pertama ialah beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin yang tewas kepada wakil Indonesia, Mellysa Trias Puspitasari- Rachel Allesya Rose.

Pasangan yang berada di ranking ke-22 dunia itu tumpas 21-18, 23-21 dalam aksi selama hampir satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:41 PM