TZE Yong tumpas kepada wakil tuan rumah, Louda di perlawanan akhir Terbuka Czech sebentar tadi. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
TZE Yong tumpas kepada wakil tuan rumah, Louda di perlawanan akhir Terbuka Czech sebentar tadi. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong untuk muncul juara dan merangkul gelaran kedua tahun ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain tuan rumah, Jan Louda 21-16, 16-21, 25-27 di Terbuka Czech.

Beraksi dalam tempoh 83 minit Tze Yong tidak berdepan masalah menguasai set pertama apabila hanya memerlukan 20 minit untuk menjinakkan lawannya itu.

Dia bagaimanapun seperti kehilangan rentak di set kedua apabila jauh ditinggalkan Louda 11-17.

Tze Yong cuba mengejar namun sudah terlambat apabila Louda menang di set kedua 16-21.

Bermula agak perlahan di set penentuan, Tze Yong terlebih dahulu ketinggalan di awal perlawanan sebelum berjaya menyamakan kedudukan empat sama.

Dalam perlawanan yang penuh mendebarkan itu Tze Yong pada satu ketika berada di kedudukan selesa apabila mendahului lawan lima mata namun Louda tidak mengalah terus mengekori rapat dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 20-20 dan menang 27-25.

"Saya memang cuba beri yang terbaik untuk menang. Beri apa yang boleh tapi lawan berada di dalam keadaan terbaiknya dan saya terpaksa terima kekalahan ini," katanya yang menang di Terbuka Poland Mac lalu.

Sementara itu hasrat pemain muda negara Siti Nurshuhaini Azman untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Indonesia, Putri Kusuma WWardani.

Langkah cemerlang Nurshuhaini melakar kejutan sehingga berjaya mara ke pentas akhir terhenti selepas beraksi selama 31 minit apabila tewas 16-21, 5-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:26 PM