PENGURUS Pasukan, A’Amar Hashim. -FOTO BAM
PENGURUS Pasukan, A’Amar Hashim. -FOTO BAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek tidak mengganggu persiapan skuad remaja negara untuk beraksi di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

Perkara itu diakui oleh Pengurus Pasukan, A'Amar Hashim, yang berkata segala persiapan berjalan lancar untuk pasukan remaja negara menamatkan kemarau tanpa pingat selepas dua edisi berturut-turut.

"Sebenarnya masing-masing buat kerja secara profesional (berhubung isu Misbun). Semua jurulatih menjalankan tugas seperti biasa. Malah Misbun sendiri ada membantu bekas anak buahnya melalui telefon," katanya yang juga naib presiden BAM.

Ujar A'Amar, beliau tidak mahu isu yang hangat diperkatakan sekarang ini menjejaskan sasaran peribadinya untuk sekurang-kurang meraih podium di AS selepas kali terakhir skuad remaja melakukannya melalui perseorangan wanita, Goh Jin Wei (emas) dan gandingan beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei (perak).

"Saya mempunyai sasaran peribadi, iaitu mahu melihat kali ini skuad remaja negara menaiki podium iaitu dalam acara berpasukan dan juga individu. Tempat ketiga (gangsa) pun tidak mengapa asalkan dapat perbaiki prestasi di dua edisi sebelum ini Kazan (2019) dan Santander (2022).

"Saya juga sudah memberitahu dengan jurulatih dan pemain, mereka semua senada mahu mencapai sasaran ini, tidak fikir perkara lain," katanya yang juga bekas pemain BAM berkelulusan Master Sains Sukan.

Ditanya mengenai pemain yang menjadi harapannya di kejohanan berkenaan, A'Amar berkata, dia masih mengharapkan sentuhan pemain perseorangan lelaki, Eogene Ewe dan gandingan beregu lelaki, Aaron Tai-Kang Khai Xing.

Skuad remaja negara diundi dalam Kumpulan C bersama England, Latvia, Austria dan Poland dengan hanya juara kumpulan sahaja layak ke saingan suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 4:07 PM