IZUAN (tengah) gantikan tempat Prakas yang sudah tamat kontrak. -Foto fail
IZUAN (tengah) gantikan tempat Prakas yang sudah tamat kontrak. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


BEKAS jurulatih skuad remaja Jepun, Izuan Ibrahim bakal berubah angin dan memikul tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Persatuan Badminton Perlis (PBPs) Rabu ini.

Menurut Presiden PBPs, A'amar Hashim, kehadiran Izuan bakal memberi impak besar kepada Perlis berikutan pengalaman luas dan kemampuan yang sudah dibuktikan oleh jurulatih kelahiran Kelantan itu.

“Izuan akan bertolak ke Perlis esok dan pada masa sama kami sudah menyerahkan surat pemberitahuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai pelantikan ini. Dia akan menggantikan ketua jurulatih kelahiran Indonesia, Prakasa Setiya yang sudah tamat kontrak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut A'amar yang juga naib presiden BAM, kehadiran Izuan bakal mewujudkan satu sistem kerja yang baik dalam kalangan jurulatih di Perlis.

“Sejak di Jepun ketika bersama kelab Ehime Prefecture dan kemudian pulang ke negeri Kelantan, kita sudah nampak kejayaan yang dihasilkannya. Sekarang dia mahu mencuba nasib dengan Perlis dan selaku presiden saya hanya memberi jalan kepadanya. Penghijrahan ini juga adalah untuk masa depannya.

“Sebenarnya Izuan sudah menyatakan minat sejak saya dilantik menjadi presiden pada Mac lalu, namun perbincangan antara kami sedikit tergendala. Sehinggalah kontraknya berakhir 30 September dan dia sekali lagi menyuarakan hasratnya,” kata A'amar.

Antara matlamat utama Izuan dipilih ialah untuk mencapai misi 2020 iaitu cuba menguasai sirkit kebangsaan dengan harapan ramai pemain Perlis mampu menakluki podium.

“Ini adalah misi perubahan, sudah lama pemain Perlis tidak menaiki podium dan pada masa sama kita juga mahu memperkukuhkan skuad menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tahun depan.

“Sasaran kita adalah untuk meraih pingat, dibantu dengan kehadiran pemain beregu lelaki kebangsaan Amir Syazwan Al Razi Shahriman Bakhtiar (pelapis) dan Chang Yee Jun (remaja kebangsaan).

“Dalam pada itu ada lagi pemain di antara usia 12 hingga 16 tahun yang hanya menunggu masa untuk digilap dan saya pasti dengan kehadiran Izuan tugas ini bakal dilakukannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

A'amar mengakui, pelantikan Izuan juga bakal mencerahkan harapan jurulatih berusia 33 tahun itu untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan (BAM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:29 PM