TZE Yong pernah menewaskan beberapa pemain ternama termasuk Axelsen. FOTO ARKIB NSTP
TZE Yong pernah menewaskan beberapa pemain ternama termasuk Axelsen. FOTO ARKIB NSTP
Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tidak gentar untuk berhadapan siapa saja lawannya di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, minggu depan.

Kejayaan menewaskan beberapa nama besar sebelum ini seperti pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen pada pusingan kedua kejohanan badminton Seluruh England Mac lalu, sedikit sebanyak memberi suntikan semangat buat dirinya melangkah lebih jauh di Kejohanan Dunia, kali ini.

Namun pemain berusia 23 tahun itu sedar laluannya tidak mudah apabila akan berdepan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia yang lalu dari China, Zhou Jun Peng seawal pusingan pertama.

"Selepas berjaya tewaskan beberapa nama besar, memang bagi saya semangat. Tapi saya harus kekalkan prestasi itu.

"Sekarang saya tak mahu fikir banyak sangat. Saya hanya mahu beri yang terbaik untuk setiap permainan saya. Saya hanya mahu fikir satu perlawanan demi satu perlawanan dan perlu menang perlawanan pertama dulu," katanya.

Bagaimanapun, Tze Yong yang kini sedang memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 sedar kelemahan perlu diatasi apabila hilang fokus dan kurang stamina antara penyebab dia tidak mampu untuk kekal konsisten.

"Kadang-kala, bila saya menang satu perlawanan, kemudian saya kalah. Mungkin saya kurang stamina dan hilang fokus. Saya sedang berusaha untuk lepaskan benda itu.

"Tapi itu semua hanya salah satu faktor saja, ada kalanya pemain lawan bermain bagus pada hari itu dan saya pula salah strategi," katanya.

Berdasarkan undian, sekiranya melepas pusingan pertama menewaskan Jun Peng, Tze Yong dijangkakan berdepan dengan pilih ke-12 kejohanan dari Denmark, Anders Antonsen.

Seorang lagi pemain negara, Lee Zii Jia diundi berdepan pilihan kelima, Jonatan Christie dari Indonesia pada pusingan pertama dan akan berdepan sama ada pemain Jerman, Kai Schaefer atau pemain Kanada, Brian Yang di pusingan kedua.

Jika mereka menewaskan lawan masing-masing, Tze Yong dan Zii Jia dijangka berdepan sesama sendiri di suku akhir, sekali gus mengulangi pertemuan di Terbuka Australia, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 5:08 PM