MISBUN harap bekas anak buahnya menyerlah di Kejohanan Badminton Remaja Dunia. FOTO Bernama
MISBUN harap bekas anak buahnya menyerlah di Kejohanan Badminton Remaja Dunia. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Misbun Sidek berharap barisan pemain perseorangan remaja negara dapat menggunakan ilmu yang dicurahkan olehnya selama ini pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Bekas pengarah pembangunan perseorangan remaja negara itu berkata, segala usahanya sebelum ini sememangnya terarah untuk memastikan barisan pemain negara mencapai kemuncak prestasi pada kejohanan berlangsung dari 25 September sehingga 8 Oktober depan itu.

Namun beliau tidak dapat meneruskan impiannya itu selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal susulan kegagalan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

"Sudah tentu apa yang mereka lakukan sekarang adalah menyambung apa yang telah saya tinggalkan. Bukan mereka tak boleh bermain, bukan mereka tak ada kredibiliti, cuma ketika itu mereka pergi ke pertandingan itu (Kejohanan Remaja Asia), tapi tak menang.

"Tetapi segala persiapan kita semuanya menuju ke arah itu (Kejohanan Remaja Dunia). Mereka sedang dalam pembinaan untuk mencapai tahap konsistensi itu, bagaimana hendak 'burst' ketika itu.

"Saya sudah cuba sedaya upaya untuk ke arah itu tetapi kita tidak berjaya ketika itu. Ia belum lagi pertandingan yang sepatutnya kita sasarkan," katanya.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tugas berkenaan sehingga kontrak asalnya tamat pada hujung tahun ini.

Namun BAM menerusi satu kenyataan mengesahkan Misbun sudah mengambil keputusan muktamad untuk berpisah dengan badan induk itu secara baik dan ia disahkan sekali lagi oleh legenda badminton negara itu pada sidang media semalam.

BAM masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran di Washington tetapi barisan pemain perseorangan lelaki antara sandaran bagi menghadirkan kejayaan.

Antaranya pemain yang dijangka menjadi pertaruhan ialah Eogene Ewe, Jan Jireh Lee dan Muhammad Faiq Haziq.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:12 PM