SUBRAMANIAM enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan. FOTO NSTP
SUBRAMANIAM enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Isu membabitkan penamatan kontrak bekas Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek memasuki episod baru namun BAM mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan perkara berkenaan.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas minggu lalu berkata, beliau enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

"Saya tak ada komen. Minta maaf. Hari itu sudah terangkan semua dan kita sudah bagi surat mengikut undang-undang.

"Jadi tak ada apa-apa komen nak buat.

"Kita hormat Misbun yang pernah menabur bakti kepada BAM. Terpulang untuk dia nak cakap apa," katanya.

Semalam, Misbun bekas Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan BAM dalam satu sidang media khas yang berlangsung lebih satu jam itu tampil mendedahkan kenyataan yang diberikan oleh badan induk itu bercanggah dengan apa yang mereka maklumkan kepada media sebelum ini.

Misbun memaklumkan bahawa dia ditamatkan kontrak tanpa sebarang pembelaan dan bukan persetujuan bersama.

Beliau berkata, penamatan kontrak itu sudah diatur malah dan tahap keberkesanan programnya seolah-olah tidak berkesan disebabkan sering diganggu oleh pihak pengurusan (BAM).

BAM dalam satu sidang media sebelum ini memaklumkan bahawa Misbun, 63 tahun mencapai persetujuan bersama BAM untuk menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Disember sebagai mengambil tanggungjawab kegagalan skuad badminton negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia awal bulan ini.

Skuad negara terkandas di peringkat suku akhir di saingan berpasukan campuran, sementara tiada satu wakil negara berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara individu.

Ia adalah kegagalan kedua skuad remaja negara di bawah kendalian Misbun selepas prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Santander, Sepanyol tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 1:41 PM