PEARLY dan M Thinaah tewaskan pasangan Thailand. FOTO BAM
PEARLY dan M Thinaah tewaskan pasangan Thailand. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuaa Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan aksi konsisten apabila mara ke pusingan kedua Seluruh England.

Pasangan yang baharu memenangi gelaran Terbuka Switzerland itu menewaskan pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-13 23-21 pada perlawanan berlangsung awal pagi tadi.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula tidak berdepan masalah menewaskan pemain Kanada, Brian Yang 21-13 21-10.

Turut melepasi pusingan pertama adalah beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta pilihan ketujuh, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Yew Sin-Ee Yi menewaskan wakil India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-13 21-12 manakala V Shem-Wee Kiong pula menewaskan pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 21-11 21-18.

Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menepati ramalan mara ke pusingan kedua selepas pilihan keenam kejohanan itu menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Nami Matsumaya 21-13 21-13.

Satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga cemerlang apabila menewaskan pasangan England, Gerogry Mairs-Jenny Moore 21-13 18-21 21-18.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Badminton England mengesahkan pemain serta anggota pasukan Indonesia dihubungi oleh perkhidmatan ujian dan jejak Pusat Kesihatan Nasional (NHS) kerajaan UK sekali gus perlu menjalani proses kuarantin serta merta.

Berdasarkan kepada peraturan kerajaan UK, kesemua anggota pasukan Indonesia perlu menjalani proses kuarantin selama 10 hari dari tarikh penerbangan mereka selepas seorang individu yang turut berada di dalam penerbangan sama didapati positif Covid-19.

Kesemua pemain Indonesia tidak dibenarkan menyertai kejohanan itu pada pusingan seterusnya sekali gus perlu menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 12:25 PM