IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, Johor semalam.
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, Johor semalam.
Ferzalfie Fauzi


BUKAN kejuaraan menjadi ukuran buat gandingan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, Johor semalam tetapi bijak mengatasi masalah dan memberi reaksi pantas kepada arahan yang paling diutamakan jurulatih, Rosman Razak.

Selepas kali terakhir mara di final pada Januari lalu di Masters Malaysia, Sze Fei-Izzuddin bangkit semula untuk merangkul kejuaraan sulung mereka tahun ini sekali gus memadam rekod buruk sembilan kejohanan terkandas di peringkat kelayakan dan pusingan pertama.

Menurut Rosman, secara keseluruhan aksi anak buahnya di kejohanan berkenaan tidak sehebat mana namun paling penting ialah berjaya mengatasi masalah seperti menukar permainan ketika di dalam gelanggang.

“Mereka juga berjaya memberi reaksi pantas kepada kami dan saya harap kejohanan ini juga mampu untuk meningkatkan semula semangat serta keyakinan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, selain menjadi pembakar semangat, kejayaan semalam juga mampu memberi pengajaran berguna buat Sze Fei-Izzuddin untuk mempersiapkan diri bagi musim depan.

“Selepas merangkul kejayaan pada 2016 dan berada pada tahap terbaik sehingga awal 2017, mereka terus beraksi di beberapa kejohanan besar dan tumpas di peringkat awal. Keyakinan mereka memang ada sedikit terganggu namun mereka mendapat pelajaran mengenai perbezaan kejohanan besar dan kecil.

“Sze Fei-Izzuddin memang pemain muda yang ada potensi. Saya harap keputusan sebelum ini adalah proses pembelajaran buat mereka. Latihan dan beraksi di kejohanan adalah dua perkara berbeza, di mana dalam gelanggang mereka perlu mengawal emosi, psikologi serta kekuatan lawan,” katanya.

Ujar Rosman, Sze Fei-Izzuddin sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan tetapi paling penting sekarang adalah untuk mencari keserasian dan menikmati setiap kejohanan dengan lebih tenang.

“Saya harap mereka boleh mengatasi masalah gementar dan bermain lebih berkualiti. Pengalaman ini kita tidak boleh dapat dalam latihan. Jadi saya harap mereka belajar di setiap kejohanan yang disertai. Apa kita perlu lihat adalah secepat mana mereka menunjukkan peningkatan dan belajar,” katanya.

Sze Fei-Izzuddin muncul juara di Cabaran Antarabangsa Malaysia semalam selepas menumpaskan rakan senegara, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen 21-19, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 6:16 PM