PEARLY (kiri) dan Thinaah ketika menewaskan gandingan Jepun di pusingan kedua Masters Malaysia di Axiata Arena, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEARLY (kiri) dan Thinaah ketika menewaskan gandingan Jepun di pusingan kedua Masters Malaysia di Axiata Arena, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi dan Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Sejarah tercipta di Axiata Arena apabila beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah berjaya mencipta antara rekod rali terpanjang dunia, hari ini.

Jumlah 211 pukulan itu terhasil dalam masa tiga minit 35 saat ketika perlawanan pusingan kedua Masters Malaysia membabitkan gandingan itu menentang beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.

Beregu negara tidak diberikan tentangan mudah apabila diheret sehingga ke rubber set yang menyaksikan kedua-dua pemain terpaksa bermandi peluh terutama ketika permainan rali di kedudukan 16-14 pada set ketiga apabila 211 pukulan terhasil.

Suasana gamat tercetus di Axiata Arena apabila penyokong terus memberikan semangat sepanjang rali berlangsung sebelum beregu negara akhirnya menang 21-17, 18-21 dan 21-19.

Untuk rekod, rali terpanjang berlaku ketika perlawanan antara Naoko Fukuman-Kurumi Yonao dari Jepun dan pasangan dari Taiwan Poon Lok Yan-Tse Ying Suet di Terbuka Denmark 2015 apabila 256 pukulan berlaku dalam masa empat minit 32 saat.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan keenam akan berdepan satu lagi pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota di suku akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:15 PM