ZII Jia belum tewas sebarang set dalam aksi Piala Sudirman.
ZII Jia belum tewas sebarang set dalam aksi Piala Sudirman.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas mencatatkan keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bertekad untuk meneruskan kecemerlangan apabila turun ke saingan suku akhir Piala Sudirman 2023 esok.

Menurut perseorangan lelaki nombor satu negara itu, dia berharap dapat meneruskan aksi konsisten selepas tidak melepaskan sebarang set ketika pasukan campuran negara menentang Australia, India dan Taiwan.

"Saya berharap dapat terus konsisten seperti ini. Aksi ketika menentang Chou Tien Chen, menyaksikan saya lebih sabar untuk berdepan sebarang situasi," kata Zii Jia.

Dia yang juga pemain nombor lapan dunia mengakui semangat sepasukan juga antara punca mengapa mereka dapat beraksi cemerlang sehingga berjaya layak ke suku akhir dan muncul juara Kumpulan C.

"Semangat sepasukan seperti ini (sentiasa memberi sokongan selepas menang) yang kita perlukan. Itu yang berlaku (ketika Zii Jia meraikan kejayaan seperti Cristiano Ronaldo).

"Sebelum main saya tidak pernah bincang dengan mereka mengenai perkara ini. Tapi inilah yang dikatakan keserasian di antara satu sama lain," kata Zii Jia yang kembali berada pada prestasi terbaiknya.

Setakat saingan peringkat kumpulan yang berlangsung sebelum ini, Zii Jia menampilkan aksi cukup konsisten apabila mencatat kemenangan straight set ke atas setiap lawannya dari India termasuk K Srikanth.

Sementara itu pemain beregu campuran, Toh Ee Wei mengakui warna dan gaya rambut turut memainkan peranan penting ketika beraksi.

"Rambut ini disiapkan oleh 'auntie Mei/May' dan dia seorang yang sangat baik. Gaya dan warna membuatkan kami berasa menarik dan yakin di dalam gelanggang. Ia memang sangat membantu," katanya.

Selepas sudah mara ke suku akhir, Malaysia selangkah sahaja lagi untuk merealisasikan sasaran melayakkan diri ke separuh akhir seperti yang diletakkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum ini.

Untuk rekod, pasukan negara tidak pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak ia mula dipertandingkan pada 1989 dengan China menjadi pasukan paling banyak memenanginya, iaitu sebanyak 12 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 1:20 PM