PELUANG terbaik buat Aaron-Wooi Yik menamatkan badi gelaran juara. FOTO NSTP
PELUANG terbaik buat Aaron-Wooi Yik menamatkan badi gelaran juara. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang menamatkan badi tanpa sebarang gelaran pada musim ini apabila melangkah ke pentas final Terbuka China, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik yang menampilkan persembahan mantap berjaya menumpaskan pasangan dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae Straight set 21-18,21-17 dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Pada pertembungan set pertama menyaksikan pasangan yang berada di ranking ke enam dunia itu lebih banyak melakukan serangan sekali gus pasangan Korea Selatan yang juga juara dunia 2023 ketinggalan mata sebelum mereka tunduk kepada Malaysia 18-21.

Memasuki set kedua, Aaron-Wooi Yik yang satu ketika ketinggalan pada awal permainan namun kembali bangkit sebelum mengatasi lawan untuk mengesahkan slot final ketiga mereka musim ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya melunaskan dendam ke atas lawan berkenaan yang menewaskan mereka ketika separuh akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.

Ini adalah kali ketiga Aaron-Wooi Yik berjaya melangkah ke pentas final musim ini selepas Terbuka India pada Januari dan Terbuka Indonesia, Jun lalu yang menyaksikan mereka muncul naib juara.

Menanti pasangan negara itu di pentas final, esok adalah pilihan ketiga kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sebagai rekod, satu-satunya beregu lelaki negara yang pernah menjulang kejuaraan Terbuka China adalah pasangan Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek pada edisi 1989.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 10:26 PM