RASHID pada Majlis Pelancaran IOI Sports Center serta pengumuman kerjasama IOI Rashid Sidek Badminton Academy.
RASHID pada Majlis Pelancaran IOI Sports Center serta pengumuman kerjasama IOI Rashid Sidek Badminton Academy.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berharap ada khabar gembira dari skuad badminton negara yang kini beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo sebagai hadiah terbaik sempena hari Kemerdekaan negara ke-65.

Rashid berkata, skuad badminton negara kini berada dalam landasan terbaik untuk melakar sejarah dengan beliau berharap semua pemain dapat membuat yang terbaik.

Acara beregu terutamanya berpotensi cerah meneruskan kemaraan apabila negara mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil di suku akhir apabila peringkat ketiga menemukan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

"Saya harap semua pemain akan dapat teruskan momentum terutama dalam acara perseorangan dan juga beregu.

"Bermainlah bersungguh-sungguh supaya akan ada juara dunia dari Malaysia minggu ini. Mungkin ini hadiah terbaik Kemerdekaan negara," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Kejohanan Dunia adalah meraih perak masing-masing menerusi acara perseorangan lelaki dan juga beregu lelaki.

Datuk Lee Chong Wei meraih perak dalam acara perseorangan iaitu pada 2015, 2013 dan 2011 manakala Wong Choong Hann yang kini menggalas tugas selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meraih pingat sama pada 2003.

Beregu lelaki turut membawa kilauan pingat sama menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2010; Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1997; Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang pada 1993 dan Datuk Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek pada 1987.

Dalam pada itu, IOI City Mall turut mengumumkan kerjasama dengan Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS) untuk menubuhkan akademi badminton yang dikenali sebagai IOI Rashid Sidek Badminton Academy.

Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 1996 meluahkan rasa gembira apabila dipilih sebagai Ketua Jurulatih dan Pengarah Program Latihan Rahsid Sidek berpusat di IOI Sports Center di Putrajaya.

"Saya rasa tidak mustahil untuk kita berjaya muncul juara dunia dan juga juara Olimpik satu hari nanti.

"Inilah masanya untuk saya mencurahkan segala pengalaman yang ada melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk dipilih mewakili negara seterusnya muncul juara di peringkat antarabangsa," katanya.

IOI Sports Center antara lokasi baru buat peminat sukan badminton negara yang menyediakan 15 gelanggang badminton berkelas dunia selain dua gelanggang futsal untuk warga kota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 5:43 PM