YUSRI akui masih banyak lagi pemain berbakat yang terlepas pandang. FOTO ASYRAF HAMZAH
YUSRI akui masih banyak lagi pemain berbakat yang terlepas pandang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah sedia mengembara ke seluruh negara bagi mencungkil lebih ramai bakat untuk diketengahkan di peringkat tertinggi.

Jelas bekas jurulatih Kelantan itu, kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan melantik dirinya akan digalas dengan sebaiknya bagi memastikan misi penubuhan pasukan projek berkenaan dicapai.

Antara objektif utama penubuhan skuad Projek FAM-MSN ini adalah untuk mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Malah, ia juga akan membabitkan pemain daripada produk Piala Belia dan Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri di seluruh negara bagi membentuk skuad perintis bermula Januari depan.

"Seperkara lagi pemain yang berada sekitar Malaysia ini, saya rasa masih banyak lagi yang kita terlepas pandang, mungkin kerana keterbatasan masa.

"Tetapi ia satu tempoh yang baik juga untuk saya, untuk mengenal pasti bakat-bakat di luar sana dalam tempoh yang amat sukar (Covid-19) kita lalui hari ini.

"Untuk itu, sesukar mana sekalipun yang saya rasakan di sini, ia adalah tanggungjawab bagaimana untuk menguruskan pemain-pemain ini ataupun melahirkan mereka untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

"Kalau ia tidak ada program sebegini, pemain-pemain itu akan terus beraksi di Piala Belia dan Piala Presiden paling tinggi...dengan adanya program sebegini, kita harus sokong kerana memberi tempat yang lebih tinggi di dalam kancah Liga Perdana," katanya.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis bermula bulan depan.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 10:11 PM