VIKTOR Axelsen (kiri) akan berdepan Kento Momota di final perseorangan lelaki Terbuka Malaysia, esok. FOTO ASWADI ALIAS
VIKTOR Axelsen (kiri) akan berdepan Kento Momota di final perseorangan lelaki Terbuka Malaysia, esok. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kisah pertarungan pada 2020 kembali tersingkap apabila bintang sensasi Jepun, Kento Momota kembali di pentas final untuk bertemu Viktor Axelsen dari Denmark, esok.

Cuma kali ini di final Terbuka Malaysia, sedangkan edisi dua tahun lalu adalah di final Masters Malaysia.

Momota yang juga juara dunia dua kali memastikan tiket final menjadi miliknya selepas menang 21-11, 21-12 ke atas pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam tempoh 42 minit.

Ini adalah kali pertama Momota yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu berjaya mara ke final sejak kali terakhir menjuarai Masters Indonesia pada November tahun lalu.

"Selepas mengharungi pelbagai cabaran, sudah pasti saya gembira apabila berjaya ke final.

"Namun, secara jujurnya saya tidak mempunyai keyakinan bermain dalam kejohanan ini kerana apa yang dilakukan adalah cuba beri aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Untuk aksi final esok, saya akan cuba sekali lagi berikan yang terbaik untuk peminat saya di sini," kata Momota yang muncul naib juara Terbuka Malaysia pada edisi 2018 selepas tewas kepada Datuk Lee Chong Wei dalam aksi final.

Kali terakhir Momota berada di Kuala Lumpur pada Januari 2020, dia dilabel sebagai pemain yang sukar untuk ditewaskan dan berjaya menumbangkan Axelsen bagi merangkul gelaran Masters Malaysia.

Namun, kisah duka menimpa Momota apabila dalam tempoh beberapa jam selepas merangkul kejuaraan dia terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mengakibatkan pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaikan dirundung nasib malang, Momota agak sukar untuk mengembalikan prestasi pada tahap terbaik termasuk terkandas seawal pusingan pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aksi final esok menemukan semula Momota dengan Axelsen yang turut mara selepas membenam cabaran pemain Indonesia, Jonatan Christie 21-15, 20-22,21-11 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kelibat Axelsen yang juga juara Olimpik Tokyo 2020 di pentas final bakal menyaksikan dia memburu gelaran pertama Terbuka Malaysia selain menamatkan penguasaan pemain Asia menjuarai kejohanan itu sejak kali terakhir pemain Eropah memenanginya menerusi Peter Gade dari Denmark pada edisi 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 9:54 PM