Momota ketepikan Axelsen. FOTO Reuters
Momota ketepikan Axelsen. FOTO Reuters
Reuters

BENGALURU: Juara dunia Kento Momota muncul pemain Jepun pertama menduduki ranking pertama perseorangan lelaki Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengetepikan bintang Denmark Viktor Axelsen.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio dan juara dunia 2017 Axelsen merosot ke tangga ketiga di belakang pemain China, Shi Yuqi selepas senarai terkini ranking pemain dikeluarkan hari ini.

Momota digantung pada April 2016 selepas mengunjungi kasino haram dan terlepas aksi Olimpik sebelum menyertai Terbuka Kanada pada Julai tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak menunggu lama untuk menggegarkan arena badminton dunia apabila menang dua kejuaraan berturut-turut pada Mac dan April tahun ini sebelum tewas kepada Lee Chong Wei pada final Terbuka Malaysia.

Dia menewaskan Axelsen pada final Terbuka Indonesia pada Julai lalu dan menjuarai perseorangan lelaki Kejohanan Dunia di Nanjing selepas itu.

Momota turut menjuarai Terbuka Jepun awal bulan ini tetapi tewas mengejut kepada pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting di Terbuka China minggu lalu, kali kedua dia kalah kepada pemain sama selepas tewas di Sukan Asia Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 5:53 PM