JUN Hao bergelut dengan prestasi.
JUN Hao bergelut dengan prestasi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rombakan dalam barisan kejurulatihan perlu dilakukan dalam usaha membantu pemain perseorangan negara dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meningkat pada kejohanan akan datang.

Disebabkan prestasi pemain perseorangan negara kurang memberangsangkan sejak beberapa bulan lepas, bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock secara terbuka memberikan pandangan beliau mengenai apa yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan mereka.

"Dari segi kejurulatihan kena cari jurulatih yang boleh berikan peningkatan, bukan duduk sana tak boleh bantu tingkatkan prestasi.

"Sebagai contoh, jika anda melatih pemain elit, anda perlu pastikan mereka meningkat dalam satu atau dua tahun yang akan datang dan bukannya lima hingga tujuh tahun, kerana ia tempoh untuk membentuk pemain. Saya berharap BAM akan berikan perhatian kepada perkara ini," katanya ketika ditemui di pelancaran Piala Cabaran Fusionex Usahawan Muda SME di sini hari ini.

Pemain ke-48 dunia Ng Tze Yong, kini merupakan pemain utama dalam BAM, selepas pemain nombor satu Malaysia Lee Zii Jia meninggalkan badan itu bagi menjadi pemain profesional Januari lepas.

Pada ketika tindakan Zii Jia menjadi pemain persendirian mula menampakkan hasil termasuk memenangi dua gelaran berturut-turut di Kejohanan Badminton Asia 2022 dan Terbuka Thailand baru-baru ini, pemain kebangsaan termasuk Tze Yong dan Leong Jun Hao masih bergelut untuk memberikan permainan terbaik mereka.

Bukan sahaja barisan kejurulatihan, Ewe Hock, 50, turut menyarankan agar perlunya perubahan dalam pengurusan BAM bagi perubahan ke arah yang lebih baik dalam sukan itu.

Sementara itu pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1994 itu berasakan pemain beregu negara pada masa ini agak baik dan berharap kesemua mereka akan memberikan cabaran terbaik pada Terbuka Malaysia yang dijanka akan berlansung dari 25 hingga 30 Jun.

Seorang lagi bekas pemain badminton negara Datuk Foo Kok Keong yang juga hadir pada majlis itu berharap para jurulatih dapat meningkatkan tahap pada sesi latihan dalam usaha memastikan pemain negara menjadi lebih kuat dan meningkatkan ketahanan mereka ketika di gelanggang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 9:43 PM