VICTOR menerusi satu kenyataan berkata Zii Jia pernah menggunakan jenama berkenaan ketika bersama skuad kebangsaan. FOTO NSTP
VICTOR menerusi satu kenyataan berkata Zii Jia pernah menggunakan jenama berkenaan ketika bersama skuad kebangsaan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Teka-teki syarikat peralatan sukan manakah yang berjaya menyambar jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia selepas dia bergerak secara profesional akhirnya terjawab apabila diumum menyertai syarikat peralatan sukan terkemuka Taiwan, Victor.

Zii Jia yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Januari lalu, akan menggunakan kelengkapan Victor bermula di Terbuka Jerman, bulan depan.

Victor menerusi satu kenyataan berkata, pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu pernah menggunakan jenama berkenaan ketika bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

"Apa yang sangat mengagumkan saya ialah sikap profesional dan dedikasi Victor. Selain itu, kepercayaan yang diberikan mereka membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri.

"Sebab itulah saya memilih untuk menyertai Victor," kata jaguh perseorangan negara itu yang membantu Malaysia memenangi Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama, Ahad lalu.

Bagaimanapun tidak dimaklumkan mengenai jumlah bayaran yang diterima Zii Jia dan tempoh kontrak dengan Victor.

Sebelum ini pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan dipercayai Victor yang didakwa menjadi faktor utama dia mahu meninggalkan BAM.

Zii Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.

Selain Victor, juara Seluruh England itu sebelum ini mengakui mendapat tawaran daripada syarikat Jepun, Yonex, Li Ning (China) dan Felet (Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 1:22 PM