ZII Jia menggunakan raket baru ketika sesi latihan. FOTO Lee Zii Jia
ZII Jia menggunakan raket baru ketika sesi latihan. FOTO Lee Zii Jia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lawan kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia perlu lebih berhati-hati selepas ini apabila dia membuat pertukaran 'senjata' dalam usaha meneruskan perjuangan di Terbuka Denmark bermula 18 hingga 23 Oktober ini.

Zii Jia akan kembali menggunakan raket jenama Victor model TK-Ryuga yang berkemungkinan akan membantu pemain terbabit beraksi lebih cemerlang berdasarkan kepada kelebihan yang dimiliki peralatan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor iaitu sebuah syarikat pengeluar barangan sukan dari Taiwan sebelum ini, sekali gus menyebabkannya diberikan penghormatan untuk menggunakan raket model baharu TK-Ryuga II yang dilancarkan, Ogos lalu.

"Anda semua mungkin perasan saya menggunakan TK-Ryuga baru-baru ini.

"Sepanjang bulan lalu, saya beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pasukan saya untuk menyelaraskan perancangan latihan dan meningkatkan prestasi saya. Dan, saya mencadangkan perubahan sementara raket.

"Saya sangat menyukai reka bentuk dan pengalaman memukul TK-Ryuga II dan saya pasti akan menggunakannya lagi dalam kejohanan pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, pada masa ini, saya memutuskan untuk menggunakan TK-Ryuga yang sudah saya gunakan untuk tempoh yang lama dan berharap dapat mengembalikan perasaan sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Zii Jia membuat hantaran berkenaan sebagai penjelasan kepada peminatnya yang menimbulkan persoalan di media sosial mengenai pertukaran raket pemain itu ketika sesi latihan.

Raket model TK-Ryuga boleh dianggap istimewa buat pemain nombor tiga dunia itu yang menyaksikan dia berjaya meraih kejuaraan Seluruh England 2021 ketika masih bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ketika itu turut ditaja Victor.

Juara Asia itu, berkata dia sedar keputusan berkenaan akan menyebabkan kerugian dan tekanan yang besar kepada Victor selaku penaja utama dirinya tetapi dia bersyukur syarikat berkenaan menerima ideanya dan sentiasa meletakkan prestasi serta keperluannya sebagai keutamaan.

"Saya benar-benar berterima kasih kepada @victorsport_official kerana menerima idea saya dan meletakkan prestasi dan keperluan saya sebagai keutamaan. Sokongan dan kepercayaan mereka membolehkan saya menyahut cabaran ke hadapan.

"Saya sentiasa gembira mendapat sokongan kuat daripada pasukan saya, keluarga, semua peminat dan penaja saya. Saya akan melakukan segala yang saya mampu untuk mengembalikan Lee Zii Jia yang tidak gentar dan membuat permulaan yang baharu," katanya.

Juara seluruh England 2021 itu sudah tiba awal di Denmark seterusnya memulakan kempen menentang pemain Belanda, Mark Caljouw untuk aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 2:18 PM