WAJAH Zii Jia di Times Square, New York AS. FOTO Instagram Victor Official
WAJAH Zii Jia di Times Square, New York AS. FOTO Instagram Victor Official
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mencipta sejarah yang tersendiri apabila menjadi atlet badminton pertama dari Malaysia menghiasi papan iklan digital gergasi yang tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).

Wajah pemain yang menduduki ranking keempat dunia terpapar bersama beberapa pemain lain seperti Anders Antonsen, Tai Tzu Ying, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti sempena ulang tahun ke-55 Victor.

Dalam satu hantaran di Instagram rasmi Victor, syarikat dari Taiwan itu memaklumkan paparan itu bukan sahaja sebagai meraikan ulang tahun Victor tetapi ianya juga untuk mempromosikan sukan badminton kepada seluruh dunia.

"Paparan di Time Square menunjukkan ia bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun Victor ke-55. Ia juga bertujuan untuk mempromosikan sukan badminton di mata dunia.

"Sertai Victor untuk mengatasi cabaran dan sentiasa bersedia untuk menang sama ada dalam atau luar gelanggang dengan semangat 'Ready to Win',"katanya.

Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari tahun lalu, Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor namun tidak didedahkan mengenai jumlah bayaran yang diterimanya dan tempoh dengan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, dia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.725 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan RM12.075 juta.

Victor bukanlah jenama asing buat Zii Jia memandangkan syarikat berkenaan pernah menjadi penaja utama kepada BAM selama enam tahun bermula 2015 hingga 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 4:38 PM