ZII Jia akan bertemu dengan pemain berasal dari Vietnam Nhat Nguyen yang mewakili Ireland selepas ini. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
ZII Jia akan bertemu dengan pemain berasal dari Vietnam Nhat Nguyen yang mewakili Ireland selepas ini. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia akhirnya kembali mendapat momentum kemenangan apabila berjaya meraih kemenangan ke atas wakil Sepanyol Pablo Abian pada aksi pembukaan kejohanan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, sebentar tadi.

Walaupun terpaksa berhempas pulas hingga mengheret perlawanan ke set penentuan namun Juara All England itu berjaya menundukkan pemain di ranking 52 dunia itu menerusi 21-11, 21-23, 24-22.

Zii Jia yang juga pilihan kedua kejohanan tidak berhadapan masalah untuk menundukkan Abian pada set pertama dengan mencatatkan kemenangan 21-11.

Namun, set kedua bagaikan serba tidak kena apabila Zii Jia yang berada di ranking ke lapan dunia terpaksa akur tunduk kepada lawannya 21-23.

Pada set penentuan pula keadaan cukup mencemaskan apabila kedua-dua pemain saling mengekori rapat namun ternyata pengalaman dimiliki Zii Jia berjaya menundukkan Abian menerusi 24-22.

Pusingan seterusnya menyaksikan Zii Jia akan bertemu dengan pemain berasal dari Vietnam Nhat Nguyen yang mewakili Ireland.

Nguyen berjaya melangkah ke pusingan seterusnya selepas dia menundukkan wakil dari India HS Prannoy 16-21, 21-17, 21-7.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:02 AM