Pemain negara, Lee Zii Jia menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam acara perseorangan lelaki badminton pada saingan peringkat kumpulan di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Pemain negara, Lee Zii Jia menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam acara perseorangan lelaki badminton pada saingan peringkat kumpulan di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pusingan seterusnya selepas mengatasi lawannya dalam saingan akhir kumpulan M sebentar tadi.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 berjaya menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia menerusi straight set 21-17,21-5.

Perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza menyaksikan pemain perseorangan negara itu beraksi cemerlang untuk menundukkan lawan pada pertemuan set pertama.

Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua walaupun Leverdez cuba memberi tentangan namun Zii Jia tetap tenang mematahkan setiap serangan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Zii Jia berjaya menempah tiket ke pusingan seterusnya esok dengan bertemu pemain China, Chen Long.

Mengikut rekod, Leverdez bukanlah lawan mudah apabila dia pernah mengejutkan bekas pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei di dua kejohanan iaitu di Kejohanan Dunia 2017 dan Terbuka Denmark 2016.

Sebelum ini, Zii Jia tidak berdepan masalah besar pada perlawanan pertama apabila berjaya menundukkan pemain Ukraine, Artem Pochtarov 21-5, 21-11 dalam tempoh 25 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 10:15 PM