Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tidak mahu terlalu taksub menurunkan pemain muda hanya kerana menentang pasukan Kanada pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D Piala Thomas.

Choong Hann berkata, kemenangan menentang Kanada cukup penting berikutan keputusan itu akan memberi jaminan tempat kepada pasukan negara untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Beliau berkata, ketika ini semua pemain berada pada tahap yang baik malah giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama itu.

Katanya, barisan kejurulatihan akan menentukan pemain yang sesuai untuk diturunkan ketika bertemu Kanada dengan perkara utama adalah mampu memberi kemenangan kepada pasukan negara.

"Mungkin kita akan turunkan pemain muda namun saya serahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan barisan pemain nanti kerana paling penting adalah pastikan kemenangan bertemu Kanada.

"Saya percaya barisan pemain akan berusaha sedaya upaya bermain dengan baik dan akan fokus pada setiap perlawanan nanti.

"Ini kerana, setiap perlawanan mempunyai cabaran berbeza sekali gus perlu menilai kesesuaian pemain dahulu," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun dan Kanada manakala England menarik diri daripada menyertai kejohanan selepas tiga daripada empat pemain perseorangan yang disenaraikan sebelum ini mengalami kecederaan.

Perkara ini mencerahkan peluang Malaysia untuk melangkah ke saingan suku akhir dengan setiap pasukan dalam kumpulan berkenaan dijangka diberikan kemenangan percuma.

Situasi itu juga menyaksikan skuad negara hanya perlu menang ke atas Kanada bagi menempah slot ke kelompok lapan terbaik dengan aksi bertemu Jepun diramal menjadi penentuan juara dan naib juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:45 PM