Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menjangka Jepun akan menurunkan barisan terkuat ketika berhadapan pasukan negara pada aksi Piala Thomas 14 Oktober ini.

Walaupun berjaya menumpaskan Malaysia pada kejohanan berpasukan campuran Piala Sudirman baru-baru ini, pasukan Jepun sudah pastinya akan lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi 'mangsa' skuad badminton negara yang mahu membalas dendam.

Kemenangan penting buat kedua-dua pasukan bagi memburu juara Kumpulan D sekali gus mengelak laluan sukar di peringkat suku akhir kejohanan berpasukan lelaki ini.

Beliau berkata, ketika ini pasukan Piala Thomas negara dalam usaha memantapkan permainan masing-masing sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama menentang Kanada pada Selasa ini.

"Pertemuan dengan Jepun tak boleh nak kata kerana sudah tentu mereka akan tampil lebih bersedia dan menurunkan barisan terbaik untuk terus mencipta kemenangan.

"Kita akan tentukan barisan pemain sebaik menilai prestasi mereka pada sesi latihan dan optimis mampu melangkah ke pusingan seterusnya," katanya.

Malaysia yang mempertaruhkan barisan pemain muda tumpas kepada Jepun pada saingan peringkat kumpulan dan separuh akhir Piala Sudirman baru-baru ini.

Pada saingan Piala Thomas, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D hanya akan beraksi dua perlawanan selepas England menarik diri berikutan kecederaan tiga daripada empat pemain perseorangannya.

Skuad negara akan turun perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Kanada awal pagi Selasa ini sebelum berdepan Jepun dua hari kemudian.

Cabaran negara diketuai perseorangan kelapan dunia, Lee Zii Jia dan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:16 PM