Marcus Ellis salah seorang pemain tonggak badminton England. FOTO Agensi
Marcus Ellis salah seorang pemain tonggak badminton England. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tinggal empat hari sahaja lagi Kejohanan Badminton Piala Thomas bakal membuka tirainya namun skuad England terlebih dahulu mengangkat 'bendera putih' dengan menarik diri daripada menyertai pertandingan itu.

Menerusi kenyataan Persatuan Badminton England memaklumkan bahawa mereka terpaksa menarik diri berikutan tiga daripada empat pemain perseorangan mengalami kecederaan.

Disebabkan itu England tidak dapat membariskan pemain terbaik atau kompetitif sekali gus mendorong mereka mengambil langkah drastik berkenaan.

"Kecederaan yang dialami beberapa pemain utama bermakna Pasukan Badminton England sukar untuk membariskan pemain yang kompetitif sekali gus terpaksa mengambil keputusan sukar iaitu menarik diri," katanya.

Mengikut rekod, skuad badminton negara diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2018, Jepun pada saingan Piala Thomas yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Selain Jepun yang pernah menjuarai piala berprestij itu pada 2014 dengan menewaskan Malaysia di pentas final, Kanada dan England turut diundi dalam Kumpulan D.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengesahkan perkara terbabit namun keputusan itu tidak menjejaskan persediaan pasukan negara.

Beliau berkata, Malaysia dijadualkan akan bertemu England namun dengan kekurangan pasukan sekali gus BAM menyerahkan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 4:38 PM