Lee Zii Jia galas tugas pemain perseorangan negara di Piala Thomas.
Lee Zii Jia galas tugas pemain perseorangan negara di Piala Thomas.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tidak menolak kemungkinan akan membariskan pemain muda pada saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula 9 hingga 17 Oktober ini.

Beliau berkata, ketika ini badan induk itu masih belum memutuskan senarai pemain yang akan ke Aarhus termasuk sama ada turut menyenaraikan pemain profesional atau sebaliknya.

Walaupun dikatakan langkah terbabit berisiko dan berani namun keputusan itu adalah berdasarkan kepada pencapaian pemain muda di beberapa kejohanan sebelum ini termasuklah di temasya Olimpik Tokyo.

Katanya, perancangan rapi akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan termasuk mengenal pasti kelemahan pemain untuk diperbaiki segera sekali gus tampil lebih bersedia pada kejohanan terbabit.

"Senarai pemain kami akan putuskan paling awal minggu depan atau selewat-lewatnya dua minggu sebelum kejohanan bermula.

"Saya akan berbincang dulu dengan barisan kejurulatihan yang lain dan kami akan putuskan apa yang terbaik.

"Kemungkinan besar kami juga akan mengadakan perlawanan dalaman bagi menentukan ranking pemain negara yang turut akan menjadi salah satu proses penilaian bagi memilih pemain," katanya.

Ketika ini, Zii Jia akan menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan pertama, lima lagi pemain bakal bersaing bagi merebut tiga lagi slot membabitkan Cheam June Wei yang berada di kedudukan ranking ke-67 dunia, Ng Tze Yong (91), Leong Jun Hao (120), Aidil Sholeh Ali Sadikin (122) dan Lim Chong King (150).

Dalam saingan beregu pula, persaingan bagi merebut tempat sebagai beregu nombor dua pula akan membabitkan Izzuddin-Sze Fei, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie.

Terdahulu, skuad badminton negara diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2018, Jepun pada saingan Piala Thomas.

Selain Jepun yang pernah menjuarai piala berprestij itu pada 2014 dengan menewaskan Malaysia di pentas final, Kanada dan England turut diundi dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 9:54 PM