ZII Jia waspada ancaman Kanada dan England. FOTO Agensi
ZII Jia waspada ancaman Kanada dan England. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia enggan memandang remeh keupayaan pasukan lain dengan menganggap mereka juga mampu mencipta kejutan seterusnya berpeluang menjuarai Piala Thomas kelak.

Zii Jia berkata, walaupun dilihat hanya Jepun saja mampu menggugat skuad badminton negara dalam saingan Kumpulan D, pasukan Kanada dan England harus diberikan perhatian bagi mengelak Malaysia terkena 'smash' mereka.

Turun dengan tanggungjawab lebih besar kelak, Zii Jia tidak melihatnya sebagai tekanan sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik sebagai contoh kepada pemain lain.

Katanya, kali kedua beraksi di kejohanan Piala Thomas boleh dikatakan mempunyai sedikit kelebihan dan pengalaman untuk dikongsi bersama rakan sepasukan terutama dalam merencanakan strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada skuad badminton negara.

"Anggap semua lawan adalah sama dengan mereka juga ada peluang untuk memenangi piala.

"Saya lihat, mereka mempunyai pasukan yang lengkap manakala skuad badminton negara pula terdiri daripada pemain muda dengan purata umur lingkungan 23 hingga 24 tahun.

"Sebagai pemain perseorangan utama negara, sudah tentu akan turun beraksi pada perlawanan pertama sekali gus adalah tanggungjawab besar dan ini adalah kali kedua beraksi di kejohanan Piala Thomas seterusnya meletakkan saya sebagai lebih senior berbanding lain," katanya.

Semalam, skuad badminton negara diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2018, Jepun pada saingan Piala Thomas yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Selain Jepun yang pernah menjuarai piala berpestij itu pada 2014 dengan menewaskan Malaysia di pentas final, Kanada dan England turut diundi dalam Kumpulan D.

Juara bertahan, China diundi dalam Kumpulan C bersama-sama India, Belanda dan Tahiti.

Kumpulan A pula menyaksikan juara terbanyak 13 kali piala berpestij itu, Indonesia diundi bersama-sama Taiwan, Algeria dan tuan rumah Piala Thomas dan Uber 2018, Thailand.

Manakala Kumpulan B pula dihuni oleh Denmark, Korea Selatan, Perancis dan Jerman. Juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:45 PM