Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia. FOTOFariz Iswadi Ismail
Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia. FOTOFariz Iswadi Ismail
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemilihan dua pemain badminton negara sebagai pembawa jalur gemilang pada temasya Olimpik Tokyo yang akan membuka tirainya pada dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini memberi satu penghormatan besar kepada sukan itu.

Selain Goh Liu Ying, pemilihan Lee Zii Jia yang mengambil alih tugas pemanah negara Khairul Anuar Mohamad itu dianggap satu penghormatan besar buat pemain yang baru berusia 23 tahun pada penampilan pertamanya di temasya terbesar dunia itu.

Khairul Anuar terpaksa menarik diri daripada memikul tanggungjawab itu kerana dia bakal beraksi pada pusingan kelayakan acara recurve berpasukan campuran bersama Syaqiera Mashayikh di Yumenoshima Park Archery Field.

Mengakui terkejut Zii Jia berkata, dia mahu menjadikan pemilihannya itu sebagai pemangkin semangat untuk dia melakarkan kejayaan gemilang di temasya Olimpik Tokyo nanti.

"Olimpik satu pentas yang besar. Ini satu penghormatan bagi saya dan juga satu pembakar semangat. Ia memberikan saya keyakinan yang lebih untuk saya beraksi di Tokyo nanti.

"Saya harap semua akan berjalan dengan baik dan saya boleh cipta sesuatu di sana nanti," katanya.

Zii Jia, 23, dipilih berdasarkan kejayaannya di Seluruh England dan berpotensi untuk meraih pingat selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada final di Birmingham, Mac lalu.

Kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera pada upacara pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:18 PM