KHAIRUL beraksi pada hari perasmian.
KHAIRUL beraksi pada hari perasmian.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila memilihnya sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama pemain badminton negara Goh Liu Ying pada temasya Olimpik Tokyo.

Temasya itu akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos selepas ditunda tahun lalu kerana Covid-19.

Khairul bagaimanapun berkata, mungkin ada pertukaran berikutan dia turun beraksi pada tarikh perasmian berkenaan.

"Mungkin akan ada pertukaran sedikit kerana pada tarikh itu saya ada pertandingan. Apapun terima kasih MOM kerana memilih saya sebagai pembawa Jalur Gemilang negara pada Tokyo 2020.

"Saya sangat gembira dan ia membuatkan saya lebih bersemangat kerana diberi kepercayaan sebagai pembawa bendera Malaysia," katanya.

Kelmarin, MOM memilih dua atlet negara, Liu Ying dan Khairul Anuar sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan kedua-dua atlet berkenaan berdasarkan prestasi semasa mereka dan kejayaan mereka sebelum ini di temasya Olimpik terdahulu.

Pemilihan Liu Ying berdasarkan pencapaiannya meraih perak ketika Olimpik Rio dan Tokyo adalah penampilan kedua atlet badminton berkenaan manakala Khairul pemenang pingat perak di Kejohanan Memanah Dunia dan antara atlet yang terawal menempah tiket ke Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 10:01 PM