LIU Ying (kiri) dan Khairul Anuar dipilih berdasarkan pencapaian di pentas antarabangsa. FOTO NSTP
LIU Ying (kiri) dan Khairul Anuar dipilih berdasarkan pencapaian di pentas antarabangsa. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih dua atlet negara, Goh Liu Ying dan Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa jalur gemilang pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan kedua-dua atlet berkenaan adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dan kejayaan mereka sebelum ini di temasya Olimpik terdahulu.

Kata Norza, pemilihan Liu Ying adalah berdasarkan pencapaiannya meraih perak ketika Olimpik Rio dan Tokyo adalah penampilan kedua atlet badminton berkenaan.

Manakala Khairul adalah pemenang pingat perak di Kejohanan Memanah Dunia dan antara atlet yang terawal menempah tiket ke Olimpik Tokyo.

"Tokyo adalah penampilan ketiga buat Khairul dan dia sebelum ini berjaya meraih perak di Kejohanan Memanah Dunia.

"Sementara Liu Ying pula sudah tidak asing lagi dan dia adalah pemenang pingat perak Olimpik Rio," katanya.

Pemilihan dua atlet berkenaan adalah yang pertama sejak Malaysia menyertai temasya Olimpik pada 1964.

Sementara itu Norza mengingatkan atlet supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan atlet yang layak ke temasya Olimpik Tokyo kali ini akan menjadi seperti berjuang di 'medan peperangan'.

Katanya, dengan kes yang semakin meningkat atlet akan berdepan dengan beberapa peraturan ketat bermula seawal sebelum berlepas ke Tokyo.

"Jepun tidak akan membenarkan penduduk mereka untuk menyaksikan temasya. Malah atlet juga tidak dibenarkan untuk bergerak ke kawasan lain.

"Konsep gelembung sukan akan diguna pakai. Penganjur tidak akan memberi peluang untuk penularan kes Covid ini kerana kes di sana juga semakin meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 8:57 PM