Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona.
Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan yang diraih di Sepanyol membuktikan bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah bersedia dan berada di landasan tepat untuk menghadapi pasca pandemik serta Olimpik Tokyo 2020.

Menurut presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, selepas berakhirnya Covid-19 dan temasya berkenaan setidak-tidaknya BAM sudah mempunyai pelapis untuk mempersiapkan diri bagi Olimpik Perancis 2024.

"Pertama sekali saya bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan pemain di Sepanyol. Kombinasi yang baik dengan pemain yang baru dinaikkan ke peringkat senior dengan tonggak sedia ada," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Norza, walaupun masih berdepan dengan keadaan Covid-19 ia menunjukkan pemain muda berani menghadapi cabaran di Eropah.

"Bukan mudah untuk berdepan pemain Eropah yang terkenal dengan kekuatan mental. Bagaimanapun, mereka berjaya menguruskan perkara ini dan mengatasi segala halangan yang ada. Mental dan fizikal mereka dalam keadaan baik kerana sekarang bukan mudah untuk mengambil penerbangan serta melalui Prosedur Standard Operasi (SOP) sedia ada.

"Ini menunjukkan kita mempunyai masa depan cerah tatkala bersedia untuk Olimpik Tokyo 2020, kita juga ada pelapis selepas pasca Olimpik dan pandemik. Kita berada di landasan yang tepat untuk Paris 2024," katanya.

Dalam pada itu Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) gembira dengan prestasi S Kisona dan Goh Jin Wei di Kejohanan Antarabangsa Sepanyol.

"Jin Wei sebelum ini bergelut untuk kembali pada prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan dan Kisona pula sudah lama tidak beraksi sejak Seluruh England. Dulu skuad ini agak ketinggalan. Bagaimanapun, sekarang bakal wujud persaingan yang sihat.

"Ia termasuk dengan pemain muda yang sebelum ini diberi pendedahan beraksi di Slovenia dan Austria," katanya.

Terdahulu Kisona muncul juara selepas menewaskan Jin Wei di La Nucia 21-14, 21-19 dalam aksi yang berlangsung 31 minit.

Ia adalah kemenangan kedua Kisona ke atas Jin Wei selepas mengatasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan Masters Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:39 PM