Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk tetap menghantar Tee Jing Yi (gambar) beraksi di Sukan Olimpik 2016 Rio walaupun sebelum ini timbul desas-desus juara remaja dunia, Goh Jin Wei patut beraksi di temasya berkenaan.

Menurut Pengerusi C&T BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mereka sudah mendapat lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang Jing Yi boleh beraksi di Rio de Janeiro dan tidak berdepan sebarang masalah kecergasan.

“Dia sudah cergas untuk Olimpik dan boleh beraksi dalam acara perseorangan wanita. Kami juga berbincang untuk menyekat penyertaan Jing Yi di Terbuka Taiwan bermula hari ini.

“Kami mahu dia terus fokus untuk Olimpik, Ogos ini,” kata Norza yang juga Pengerusi ISN.

BAM juga masih belum memutuskan pemain yang akan turut serta ke Olimpik sebagai rakan sepelatih kepada skuad Olimpik kerana belum menyelesaikan masalah kad akreditasi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 8:05 AM