REEZAL Merican (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan ke industri sukan komersil. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
REEZAL Merican (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan ke industri sukan komersil. FOTO Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Rayuan penggiat industri sukan komersil akhirnya didengari apabila pemilik fasiliti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan media memaklumkan bahawa padang bola sepak komersil, gimnasium, gelanggang futsal dan dewan badminton dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini.

Beliau berkata, pembukaan fasiliti berkenaan turut disusuli dengan garis panduan yang wajib dipatuhi pemilik dan pengguna kemudahan terbabit bagi mengelak penularan Covid-19.

"Aktiviti di dalam padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 orang peserta pada satu-satu masa.

"Setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa.

"Pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan, sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa," katanya, di sini.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti sukan dan rekreasi dalam tempat tertutup (indoor venue) yang lain akan terus diberi perhatian untuk dipertimbangkan selepas tempoh PKPB dengan melihat kepada situasi semasa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:33 PM