Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO File NSTP
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersedia membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan aktiviti berkaitan industri sukan dikategorikan di bawah sektor ekonomi.

Ia termasuk membenarkan operasi fasiliti sukan dan reaksi dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.

Beliau turut 'turun padang' meninjau situasi semasa pemain industri sukan dan rekreasi yang terpaksa menutup fasiliti sukan susulan PKPB berkata perkara itu sudah dibangkitkan ke peringkat tertinggi termasuk menulis surat dan bercakap dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"PKPB yang berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Oktober ini hanya membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang bersifat individu, tiada sentuhan fizikal, aktiviti terhad di tempat terbuka (outdoor) saja dan tidak melebihi 10 orang di tempat yang sama," kata Reezal dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ia secara tidak langsung melarang pembukaan fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) seperti padang bola sepak komersial, dewan badminton, gelanggang futsal dan gimnasium, dalam tempoh pelaksanaan PKPB ini.

"Lantaran itu, terdapat aduan daripada pihak industri yang melahirkan keresahan bahawa larangan PKPB ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian dan impak kewangan sekali gus menjejaskan kelangsungan operasi industri sukan secara keseluruhan.

"Pada dasarnya, operasi fasiliti sukan adalah sebahagian daripada penjanaan ekonomi industri sukan negara.

Walaupun industri sukan memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara, industri ini kurang diberi perhatian berbanding dengan aktiviti ekonomi lain yang sudah diberikan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor ekonomi sepanjang tempoh PKPB ini.

"Sehubungan itu, saya sudah membawa suara keresahan ini ke peringkat tertinggi termasuklah menulis surat dan bercakap dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan supaya pihak MKN dapat memberikan pertimbangan dan kewajaran supaya aktiviti berkaitan industri sukan dikategorikan di bawah sektor ekonomi dan membenarkan operasi fasiliti sukan dan rekreasi indoor (padang bola sepak komersial, dewan badminton, gelanggang futsal dan gimnasium) mengikut Prosedur operasi standard (SOP) SOP yang ditetapkan.

"Semua jenis aktiviti sukan dan rekreasi, sama ada aktiviti indoor ataupun outdoor, tidak kira sukan individu atau sukan berpasukan dicadang dapat dibenarkan dengan syarat mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat seperti penjarakan fizikal 1-3 meter untuk aktiviti statik manakala 3-5 meter untuk aktiviti dinamik.

"Ini secara langsung masih dapat memastikan tiada kontak (tiada sentuhan badan) dalam aktiviti sukan dan rekreasi yang dilaksanakan. Cadangan SOP ini sudah dibentangkan di dalam Mesyuarat Teknikal MKN pada 15 Oktober 2020 lalu yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MKN.

"Saya berharap pihak MKN dapat memberi pertimbangan sewajarnya yang membolehkan aktiviti ekonomi dalam industri sukan pulih secara beransur-ansur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:45 PM