RONALDO masih mempunyai baki kontrak bersama Juventus sehingga 2022. FOTO AFP
RONALDO masih mempunyai baki kontrak bersama Juventus sehingga 2022. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo boleh meninggalkan Juventus dengan harga hanya sekitar £25 juta (RM143.3 juta).

Kelab gergasi Itali itu ketika ini sedang melakukan penjimatan kos dan tersingkir awal di Liga Juara-Juara menyaksikan situasi mereka semakin sukar.

Menurut laporan Corriere dello Sport, Juventus mungkin sanggup menjual pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu dengan harga jauh lebih murah berbanding ketika membelinya pada 2018.

Penjualan Ronaldo membolehkan kelab mengelak daripada mengalami kerugian.

Kontrak Ronaldo akan berakhir pada 2022 tetapi Juventus mampu memperoleh penjimatan sebanyak £28 juta (RM160.5 juta) jika berhenti daripada membayar gajinya sekitar £540,000 (RM3 juta) seminggu.

Terdapat laporan menyatakan Ronaldo berharap dapat melanjutkan kontrak selama 12 bulan lagi daripada kontrak asal tetapi kelab enggan memberikan sebarang jaminan.

Ketua Pegawai Eksekutif Juventus, Patratici pada minggu ini berkata: "Ronaldo masih mempunyai baki kontrak selama setahun. jadi kami masih mempunyai masa untuk mengadakan perbincangan dengannya. Ia bukanlah keutamaan ketika ini."

Laporan di Sepanyol menyatakan ejen Ronaldo, Jorge Mendes sedang mengadakan perbincangan bersama Real Madrid dalam usaha untuk kembali ke kelab itu manakala Paris Saint-Germain (PSG) sedang memerhatikan situasi semasa bintang Portugal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 9:28 PM