Pemain Kelantan, Mohamad Hakami Abdullah (kanan) cuba menghalang pemain JDT II pada aksi Liga Perdana. FOTO Zain Ahmed
Pemain Kelantan, Mohamad Hakami Abdullah (kanan) cuba menghalang pemain JDT II pada aksi Liga Perdana. FOTO Zain Ahmed
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kelantan FC mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia selepas menang tipis 1-0 menewaskan Johor Darul Ta'zim II ( JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Jaringan tunggal Daniel Ashraf Abdullah pada babak pertama sudah memadai buat skuad The Red Warriors (TRW) mengutip tiga mata untuk menamatkan saingan liga di tangga keempat selepas mengumpul 18 mata.

Dalam perlawanan itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama pada aksi terakhir saingan liga apabila mempertaruhkan Kei Hirose selaku pemain import tunggal dan membariskan pemain muda termasuk penampilan pertama, Irfan Fazail yang diturunkan dalam skuad utama.

Percaturan taktikal itu hampir mengundang jaringan buat rumah selepas bola lintang Mohamad Rafiefikri Rosman seawal minit kelima menyaksikan bola terkena palang gol ketika penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin sudah tertewas.

Namun berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan tuan rumah dan penjaga gol, Haziq Nadzli pada minit ke-27 membuka ruang buat Daniel Ashraf bertindak pantas menolak bola ke gawang yang kosong untuk menghasilkan gol tunggal perlawanan.

Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Adib Zainuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Abang Azharudin Abdullah pada minit ke-31 kerana mengasari pemain pelawat yang berada dalam situasi menjaringkan gol.

Tuan rumah mula mengatur serangan bertali arus bagi memburu gol penyamaan sebaik babak kedua bermula namun masih buntu memecah keampuhan benteng anak didik Yusri Che Lah dan kedudukan 1-0 yang memihak TRW kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:15 PM