PASUKAN hoki lelaki Perak meraikan kejuaraan tempat pertama dengan menewaskan Terengganu 4-2 dalam final Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PASUKAN hoki lelaki Perak meraikan kejuaraan tempat pertama dengan menewaskan Terengganu 4-2 dalam final Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaringan hatrik penyerang Perak, Muhammad Haziq Samsul berjaya membantu Perak menjulang kejuaraan Piala Razak menewaskan Terengganu 4-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kata-kata berharga daripada arwah ibunya bahawa hidup ini tidak pernah ada had dan hanya buat yang terbaik menjadi azimat semangat buat Haziq berjuang untuk membantu Perak membawa pulang piala berprestij itu.

Kata Haziq, selepas dua tahun bergelumang dengan kecederaan, kejayaannya meledak tiga gol berharga di pentas akhir diharapkan dapat membuka mata jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj untuk menyerapnya ke dalam skuad kebangsaan.

"Dua tahun yang tidak menentu dan saya kembali awal tahun ini dan hari ini saya buktikan kemampuan untuk buat yang terbaik.

"Saya yakin dengan pasukan dan taktikal yang dirancang oleh jurulatih (Roslan Jamaluddin) menjadi dan dapat lihat apabila semua penyerang Perak menjaringkan gol di kejohanan ini," katanya.

Dalam aksi final itu, Terengganu bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Faizal Saari pada minit pertama sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan 1-1.

Sentuhan berbisa Haziq bermula apabila menjaringkan gol padang minit ke-30 dan meletakkan Perak di kedudukan 3-1 dua minit kemudian dan gol ketiga Haziq dihasilkan menerusikan jaringan padang minit ke-46.

Faizal tidak berputus asa untuk mengejar berjaya menjaring gol kedua buat Terengganu minit ke-59.

Kejayaan mereka itu membolehkan Perak merampas semula gelaran juara selepas kali terakhir dimenangi mereka dua tahun lalu dan kejuaraan ke-10 sejak 1963.

Malah ia adalah kejayaan ketiga Perak menundukkan Terengganu di perlawanan akhir selepas menewaskan pasukan itu pada final edisi 2017 dan 2018.

Kejayaan itu membolehkan Perak membawa pulang RM10,000 manakala Terengganu meraih RM7,000.

Manakala Faizal turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 18 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 11:13 PM