JARINGAN Sterling menyelamatkan England daripada hanya mencatatkan keputusan seri. FOTO AFP
JARINGAN Sterling menyelamatkan England daripada hanya mencatatkan keputusan seri. FOTO AFP
AFP

GARETH Southgate mengakui England sangat bernasib baik selepas mengelak daripada mencatatkan satu lagi keputusan memalukan apabila penalti Raheem Sterling memberikan kemenangan tipis 1-0 di Iceland.

Selepas Sterling memecah kebuntuan pada minit ke-92 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA itu, Birkir Bjarnason gagal menyamakan kedudukan menerusi penalti dengan kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain pada 20 minit terakhir.

Empat tahun sebelum ini England mencatatkan episod memalukan dalam sejarah bola sepak Inggeris apabila kalah 1-2 kepada Iceland di Euro 2016 dan awal pagi tadi 'The Three Lions' sekali lagi tampil hambar pada perlawanan pertama mereka selepas 10 bulan.

Southgate berharap Kyle Walker dan Joe Gomez belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan di mana hampir menjurus kepada kekalahan.

Disenaraikan buat kali pertama tahun ini, Walker dilayangkan kad merah 20 minit sebelum tamat permainan kerana terjahan keras.

Selepas mendahului permainan, Gomez pula menjatuhkan Holmbert Fridjonsson dalam kotak penalti.

"Dibuang padang bakal menjadi penyebab utama kerana sukar untuk memenangi perlawanan apabila bermain 10 orang. Ia sepatutnya dielakkan," kata Southgate.

Sementara itu, pengendali Iceland Erik Hamren merasakan perlawanan sepatutnya berakhir dengan keputusan seri.

"Sudah 40 tahun saya menjadi jurulatih dan ini terasa seperti kekalahan yang paling buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 11:32 AM