MO Farah menunjukkan catatan masa rekod dunia miliknya. FOTO AFP
MO Farah menunjukkan catatan masa rekod dunia miliknya. FOTO AFP
AFP

PEMENANG empat pingat emas Sukan Olimpik, Mo Farah kembali ke trek dengan bergaya di saingan Diamond League di Brussels apabila melakar rekod dunia acara larian satu jam.

Tiga tahun selepas memilih acara lebuh raya, Farah tidak menunjukkan prestasi menurun apabila dia menamatkan larian sejauh 21.330 kilometer (km) dalam tempoh 60 minit yang dilangsungkan secara tertutup di Stadium King Baudouin.

Farah yang memenangi emas dalam acara 5,000 dan 10,000 meter (m) untuk Britain di Sukan Olimpik London dan Rio, lebih 45m mengatasi rekod Haile Gebrselassie yang sebelum ini menamatkan larian sejauh 21.285km pada 2007.

"Saya sangat gembira dapat memecahkan rekod dunia. Amat menakjubkan dapat melakukannya dan membuktikan bahawa tiada yang mustahil.

"Saya berasa kepenatan dan separuh daripada larian terpaksa bekerja keras. Sekali lagi, amat teruja dapat memperbaharui rekod dunia," katanya.

Pada satu ketika, pelari berusia 37 tahun itu yang juga pemenang enam emas kejohanan dunia, dilihat keletihan dengan rakan sepelatihnya, Bashir Abdi masih berlari dengan konsisten.

Dengan larian berbaki lima minit, Abdi di depan buat kali pertama sekali gus menyaksikan Farah terpaksa bekerja keras.

Ketika saingan memasuki minit terakhir, Farah memulakan langkahnya untuk mengatasi Abdi dan mengekalkan tempo lariannya sehingga ke garisan penamat.

Farah yang mensasarkan untuk beraksi dalam acara 10,000m di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan, akan kembali beraksi dalam acara lebuh raya di maraton London bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 9:07 AM