Pemain Kelantan, Felix Chidi Odili (tengah) diasak pemain Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain Kelantan, Felix Chidi Odili (tengah) diasak pemain Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


PEMAIN import Pulau Pinang, Endrick Dos Santos muncul wira pasukan apabila meledak hatrik menewaskan Kelantan 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Pemain tengah skuad Harimau Kumbang itu menjaringkan tiga gol hasil sepakan penalti pada minit ke 52, 65 dan masa tambahan.

Pelawat bermula garang dengan menguasai perlawanan serta sering melakukan serangan ke atas skuad kendalian Yusri Che Lah.

Dalam usaha mengekang kemaraan pelawat, Kelantan menerima padah apabila memberikan sepakan penalti kepada Pulau Pinang selepas pemain, Rafael Vitor Santos dijatuhkan pertahanan tuan rumah pada minit ke 50.

Ternyata, peluang itu berjaya disempurnakan pemain import Pulau Pinang, Dos Santos untuk gol pembukaan.

Tersentak dengan jaringan itu Kelantan cuba bangkit memperkemaskan permainan namun gagal mengawal mengekang asakan lawan.

Nasib terus menyebelahi Pulau Pinang apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Hamdan Awang dan bijak disempurnakan Dos Santos.

Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan kanan Kelantan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke 68 selepas memperoleh dua kad kuning. Pulau Pinang melengkapkan kemenangan selesa sekali lagi menerusi gerakan Dos Santos yang berjaya menembusi gawang di minat akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 12:31 AM