KLOPP ketawa ketika sidang akhbar di Naples. Turut bersamanya kapten Liverpool,  Henderson. - FOTO EPA
KLOPP ketawa ketika sidang akhbar di Naples. Turut bersamanya kapten Liverpool, Henderson. - FOTO EPA
Reuters

JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp menganggap Manchester City pasukan terbaik dunia walaupun juara Liga Perdana itu masih belum menjulang trofi kejohanan utama Eropah.

Ketika pasukannya bersiap sedia memulakan misi mempertahankan trofi Liga Juara-Juara menentang Napoli dalam aksi Kumpulan E awal pagi esok, pengendali dari Jerman itu menolak tanggapan mereka dilabel pasukan pilihan menjulang kejuaraan sekali lagi.

"Kami tidak boleh menjadi kelab terbaik Eropah kerana Man City pasukan terbaik di dunia, ia planet yang sama,” gurau Klopp ketika sidang akhbar di Stadium San Paolo, Naples, awal pagi tadi.

"Kami tidak tertekan dengan status juara bertahan, kenangan manis menjuarainya sudah lama kami lupakan. Saya tiada petunjuk (jika pasukan lain beraksi dengan cara berbeza menentang kami). Tetapi saya berharap dapat bersiap sedia untuk itu.”

Liverpool menduduki tangga kedua Liga Perdana musim lalu di belakang skuad Pep Guardiola tetapi kini The Reds mendahului lima mata di depan City selepas lima perlawanan.

Pemain tengah, Jordan Henderson turut berkata, Liverpool bukan pasukan pilihan memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi.

"Masih terlalu awal mengatakan kami pasukan pilihan, kami mungkin bermula dengan baik tetapi harap dapat terus kekal momentum,” kata pemain antarabangsa England itu. Musim lalu sudah berlalu dan kami perlu bertambah lebih bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:31 AM