BERGKAMP legenda Gunners. FOTO Agensi
BERGKAMP legenda Gunners. FOTO Agensi
Agensi

MIKEL Arteta mahu ikon Arsenal, Dennis Bergkamp kembali ke pangkuan kelab.

Bekas bintang Belanda itu bakal diberi peranan menggalas tugas penolong jurulatih yang ditinggalkan Freddie Ljungberg.

Bergkamp, 51, berpeluang mengisi jawatan itu dengan pengendali, Arteta berharap dapat memperkuatkan staf kejurulatihan dengan figura yang sentiasa dihormati pemain.

Dan tiada paling sesuai selain bekas pemain tersohor mereka, Bergkamp yang menghabiskan 11 tahun di kelab itu dan mempunyai tugu sendiri di luar Emirates.

Sebelum itu, Arteta turut menimbangkan bekas pemain tengah Arsenal, Santi Cazorla untuk menjadi sebahagian anggota pasukan.

Tetapi hasrat itu gagal selepas pemain Sepanyol itu menyertai kelab Qatar, Al Sadd demi masa depan karier permainannya.

Bergkamp pula menjadi jurulatih sukarela bersama kelab kerdil Amsterdam, Almere City sejak dipecat daripada jawatan penolong pengurus Ajax tiga tahun lalu.

Sekarang, dia teruja menjadi jurulatih kekal dan tidak berahsia untuk menyertai Arsenal kembali.

Bergkamp menjuarai tiga gelaran Liga Perdana dan empat Piala FA ketika bersama Gunners di antara 1995 sehingga 2006.

Dalam temuramah baru-baru ini, dia berkata: ''Saya sangat berminat dengan Arteta dan apa dilakukannya di sana. Terdapat petanda dia mahukan perubahan falsafah.

''Apabila tiba masa sesuai, saya berminat kembali dan menyumbangkan idea serta tenaga. Sudah tentu ia paling ideal di Arsenal.

"Saya 11 tahun di sana dan mempunyai memori indah dengan kelab.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 10:59 AM