PENYOKONG Arsenal berkumpul di luar Stadium Emirates, Jumaat lalu. FOTO AFP
PENYOKONG Arsenal berkumpul di luar Stadium Emirates, Jumaat lalu. FOTO AFP
AFP

London: Stan Kroenke tidak akan melayan sebarang tawaran untuk membeli Arsenal, menurut kenyataan Kumpulan Kroenke Sports dan Entertainment (KSE) hari ini .

Ribuan penyokong Gunners yang tidak berpuas hati berkumpul di luar Stadium Emirates sebelum aksi menentang Everton Jumaat lalu selepas Arsenal antara 12 kelab yang pada peringkat awal bersetuju menyertai Liga Super Eropah (ESL).

Bagaimanapun, Arsenal bersama lima lagi kelab Inggeris menarik diri dalam masa 48 jam selepas menerima bantahan hebat penyokong, pemain, badan bola sepak dan kerajaan Britain. Pada Jumaat lalu, pengasas Spotify, Daniel Ek berkata dia sedia menimbangkan pengambil alihan kelab dan laporan minggu ini menyebut bekas pemain Arsenal - Thierry Henry, Patrick Vieira serta Dennis Bergkamp mungkin dilantik menjadi penasihat kumpulan jutawan dari Sweden itu.

"Sejak beberapa hari lalu terdapat spekulasi media mengenai hasrat pihak tertentu mengambil alih Arsenal Football Club," kata kenyataan KSE.

"Kami kekal 100% komited dengan Arsenal dan tidak akan menjual sebarang saham kelab ini. Kami belum terima sebarang tawaran dan tidak akan melayannya.

"Cita-cita kami untuk Arsenal kekal berjuang untuk menjuarai trofi lebih besar dan terus kompetitif untuk mencapai hasrat itu."

Arsenal kini berada di tangga ke-10 Liga Perdana dan tampak bakal mengakhirinya dengan kedudukan paling buruk sejak 1995.

Tetapi mereka boleh layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam masa lima tahun jika menjuarai Liga Europa.

Skuad Mikel Arteta akan berkunjung ke Villarreal yang dikendalikan bekas pengurus Arsenal, Unai Emery untuk aksi separuh akhir pertama Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:29 AM