Xavi Vierge bersama jentera motosikalnya. FOTO Agensi
Xavi Vierge bersama jentera motosikalnya. FOTO Agensi
BERNAMA

PELUMBA Petronas Sprinta Racing Moto2, Xavi Vierge ingin bersaing untuk meneruskan prestasi mantap dalam Kejuaraan Moto Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno hujung minggu ini.

Pelumba berusia 23 tahun dari Sepanyol itu yang meraih tempat masing-masing ke-10 dan ke-8 pada GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez bulan lepas, berkata beliau berhasrat untuk mendapatkan jumlah mata yang lebih baik.

"Selepas berehat dan berlatih selama beberapa hari, saya bersedia untuk berlumba lagi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

"Pada hujung minggu ini, saya ingin mencari rentak kami, pastikan kami mempunyai persediaan yang baik untuk perlumbaan dan berhasrat untuk berada dalam kelompok lima terbaik, mungkin juga bersaing untuk menaiki podium!" kata Vierge yang kini berada di tempat ke-9 dengan 21 mata dalam Kejuaraan Dunia Moto2 selepas tiga perlumbaan.

Rakan sepasukan, Jake Dixon bagaimanapun, berharap untuk mengubah nasibnya pada perlumbaan hujung minggu ini setelah gagal menamatkan perlumbaan pada GP Andalusia baru-baru ini kerana masalah enjin.

"Saya rasa litar ini sesuai dengan gaya menunggang saya, jadi saya ingin berada di kedudukan teratas dan dapat berada dalam kelompok 10 terbaik," kata pelumba dari Britain berusia 24 tahun itu yang hanya berjaya mendapat dua mata daripada tiga perlumbaan setakat ini.

GP Republik Czech akan bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu dan perlumbaan sebenar pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:06 PM