HAFIZH menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan di Brno. FOTO Ihsan Facebook Aspar Team
HAFIZH menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan di Brno. FOTO Ihsan Facebook Aspar Team
BERNAMA

PERUBAHAN enjin yang digunakan pada jentera Hafizh Syahrin Abdullah jelas memberi kesan kepada persembahan pelumba Moto2 negara itu yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan daripada 22 pelumba pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno pada sebentar tadi.

Pelumba pasukan Inde Aspar Team Moto2 itu mendedahkan dia bergelut untuk bersaing dengan pelumba di kelompok hadapan memandangkan enjin yang digunakan pada perlumbaan kali ini begitu berbeza dengan enjin yang digunakan pada GP Sepanyol dan GP Andalusia bulan lalu.

Dia bagaimanapun, bersyukur dengan kedudukan kesembilan itu yang menyaksikan dirinya mengutip tujuh mata, dan berada di tempat ke-14 daripada 31 pelumba dengan kutipan 17 mata keseluruhan selepas empat perlumbaan setakat ini.

"Syukur alhamdulillah, saya (meraih) kedudukan kesembilan, tapi perlumbaan tadi agak kurang baik bagi saya sebab permulaan agak tak begitu cantik disebabkan enjin yang digunakan, saya tidak berada pada tahap optimum.

"Pasukan saya sudah buat yang terbaik dari segi 'mapping' dan sebagainya, namun enjin yang saya gunakan di Litar Brno tidak sama dengan saya gunakan di Litar Jerez.

"Dengan 'pace' (kelajuan) saya tadi, saya yakin dapat kedudukan kelompok lima pelumba terbaik, namun banyak kali amaran kemalangan pada jentera saya, sekali gus menyukarkan untuk saya mengejar pelumba di kelompok hadapan," katanya selepas perlumbaan berkenaan.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin yang mewakili pasukan Onexox TKKR SAG Team bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas pada selekoh ke-10 pusingan kelima perlumbaan berkenaan.

Pelumba Itali, Enea Bastianini daripada pasukan Italtrans Racing Team meraih kemenangan podium ketiga pada musim ini menerusi catatan masa 39 minit 13.926 saat, disusuli pelumba Great Britain, Sam Lowes daripada pasukan EG 0.0 Marc VDS dan pelumba pasukan Tennor American Racing, Joe Roberts dari Amerika Syarikat yang ketinggalan 0.423 saat dan 5.948 saat masing-masing di belakang Bastianini.

Pusingan perlumbaan seterusnya adalah GP Austria yang dijadual berlangsung di Litar Red Bull Ring, Spielberg, Austria dari 14 hingga 16 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 11:33 PM