VIERGE berharap untuk memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan selepas catatan lapan terpantas pada sesi ujian rasmi di litar tersebut dari 23 hingga 25 Feb lalu. FOTO Ihsan PETRONAS SRT
VIERGE berharap untuk memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan selepas catatan lapan terpantas pada sesi ujian rasmi di litar tersebut dari 23 hingga 25 Feb lalu. FOTO Ihsan PETRONAS SRT
BERNAMA

PELUMBA Petronas Sprinta Racing (Petronas SRT) - Xavi Vierge dan Jake Dixon bersedia mempamerkan prestasi terpuji dalam saingan Moto2 pada perlumbaan pembuka tirai MotoGP Dunia 2020 di Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail, hujung minggu ini.

Vierge, pelumba Sepanyol yang menyertai pasukan Petronas SRT dari Estrella Marc VDS, berkata dia berharap untuk memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan selepas catatan lapan terpantas pada sesi ujian rasmi di litar tersebut dari 23 hingga 25 Feb lalu.

“Kami melakukan usaha yang baik dengan keputusan membanggakan pada sesi ujian dan tidak sabar untuk perlumbaan Ahad ini kerana perlumbaan ini sungguh istimewa yang saya minati.

“Selain perlu bersaing, kami juga perlu mengawal emosi dan minda supaya cukup tenang. Musim 2020 cukup lama dan oleh itu keutamaan kami adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan keputusan yang terbaik mungkin,” kata Vierge.

Berkongsi sentimen sama, Dixon, yang mengalami kecederaan patah jari manis pada sesi ujian rasmi di Litar Jerez, Sepanyol, bulan lalu, berkata dia masih menyesuaikan diri dengan casis Kalex berbanding KTM sebelum ini.

“Nasib baik, saya tidak risau kerana tahu di mana saya perlu memperbaiki dan bagaimana untuk melakukannya. Hanya perlu melakukan lebih banyak pusingan dengan jentera baharu ini.

“Selain itu, saya perlu berusaha semasa sesi latihan bebas supaya dapat bersedia dengan lebih baik pada hari perlumbaan,” kata pelumba Britain berusia 24 tahun itu.

Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlangsung pada GP Qatar selepas Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) membatalkan kategori MotoGP kerana penularan wabak COVID-19.

Itali muncul negara Eropah yang paling terkesan dengan COVID-19 dan enam pelumba MotoGP adalah dari Itali iaitu juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi, naib juara 2019 Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci, Francesco Bagnaia, Franco Morbidelli dan Andrea Iannone.

Ducati dan Aprilia pula pengeluar utama dari Itali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 3:52 PM